Friday, February 10, 2012
KENAPA TIDAK MAHU BERTAUBAT?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Pepatah Melayu ada menyatakan: “Sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.”
Acapkali di dalam hidup seseorang insan dia akan
merasa penyesalan setelah segala-galanya terlambat dan
tidak mampu dirubah lagi. Namun begitu apa yang
sepatutnya kita fikirkan secara mendalam adalah
penyesalan di hari penghitungan ketika berada di
Padang Mahsyar di mana segala amalan kita semasa kita
hidup di dunia akan dihisab dan kemudian ditentukan
sama ada kita akan ke syurga mahupun neraka. Ya,
apabila ditunjukkan kepada seseorang hamba Allah
segala keburukan ketika di dunia dahlu, maka akan
timbul penyesalan kerana takutkan balasan yang pedih
di neraka, maka terdetik di hatinya agar dilewatkan
ajalnya ataupun dia dihidupkan semula ke dunia supaya
dapat dia bertaubat atas segala kesilapannya dahulu.
Namun sayang seribu kali sayang, penyesalannya itu
hanya sia-sia kerana ketika di Padang Mahsyar pintu
taubat telah tertutup rapat. Maka akan timbul dibenak
fikirannya alangkah baik sekiranya aku di dunia dahulu
tidak melakukan segala dosa-dosa tersebut. Hmm alahai,
apakan daya… tak ada apa lagi yang mampu hendak
dilakukan melainkan menanti sahaja hukuman serta azab
Allah S.W.T. atas kesilapannya yang lalu. Senario
sedemikian rupa telah dirakamkan di dalam al-Qur’an
melalui firman-Nya:
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki
yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari
kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka
dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "
Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan
kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit
sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat
pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan
kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa)
apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam
Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan. –
al-Munaafiquun (6) : 11
Seorang manusia yang banyak melakukan dosa ketika
menghadapi Malakul Maut pasti akan meminta untuk
dilewatkan ajalnya walaupun hanya seketika demi untuk
bertaubat kepada ALLAH S.W.T. dan mengerjakan
amal-amal soleh. Namun begitu permintaan tersebut
pasti akan ditempelak oleh Malakul Maut kerana waktu
datangnya ajal itu telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T.
tanpa awal mahupun lewat walaupun sesaat. Seorang
ulamak tafsir ketika mengulas firman ALLAH S.W.T. di
atas telah berkata:
Manusia yang lalai itu apabila sudah tiba saat
kematiannya lalu berkata kepada Malakul Maut: Hai
Malakul Maut, sudilah kiranya tuan lewatkan kematianku
ini sebentar sahaja, sehari pun jadilah, agar saya
berkesempatan untuk bertaubat kepada ALLAH pada hari
itu serta beramal soleh untuk kematianku ini.
Jawab Malakul Maut: Itu tidak mungkin terjadi, sebab
hari-hari yang lalu sudah kau buang sia-sia sahaja.
Jadi tidak boleh ditambah sekalipun hanya sehari.
Katanya pula: Jika demikian sesaat sahaja pun
cukuplah.
Jawab Malakul Maut: Dahulu sudah berjuta-juta saat
yang kau sia-siakan. Jadi sesaat pun tidak dapat
dipenuhi permohonan itu.
Setelah itu, lalu ditutup pintu taubat untuknya.
Kemudan nafasnya tercungap-cungap beberapa kali
sehingga akhirnya hilanglah nafasnya dan meninggal
dunia dalam keadaan penyesalan. – Dinukil dari kitab
Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin – Ringkasan
Dari Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin
al-Qasimi al-Dimasyqi (tajuk asalnya adalah Mau’izah
al-Mukminin min Ihya’ ‘Uluum al-Deen), Victory
Agencie, Kuala Lumpur, 2005, jilid 2, ms. 415.
Apatah lagi sekiranya orang yang ingkar kepada
perintah Allah tersebut ketika hidupnya begitu sombong
terhadap peringatan yang diberikan kepadanya. Kononnya
kehidupan yang dilalui dengan berpakaian mendedah
aurat, berpacaran bersama pasangan yang bukan muhrim,
minum arak, seks bebas, menjadi pengunjung tetap di
kelab-kelab malam dan lain-lain lagi merupakan
kehidupan yang sesuai pada zaman serba moden. Golongan
yang cuba membawanya ke arah kebenaran ditempelak
sebagai golongan yang jumud lagi ketinggalan zaman dan
mengganggu hak asasinya untuk hidup sebagaimana yang
dirasakan sesuai dengan dirinya. Pasti penyesalannya
ketika di hari penghitungan akan lebih mencengkam
jiwanya. Pasti terdetik di benak hatinya alangkah baik
sekiranya aku dahulu menuruti nasihat mereka yang
ingin mengembalikan aku ke jalan yang lurus serta
diredhai Allah S.W.T.. Tentu juga terdetik di dalam
hatinya alangkah baik sekiranya aku diberi kesempatan
untuk kembali ke dunia agar aku boleh menjadi insan
yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Hmm alahai
segala-galanya sudah terlewat. Kesempatan yang Allah
S.W.T telah berikan kepada kamu telah dipersiakan dan
kini kamu sudah tidak memilki jalan untuk berpatah ke
belakang melainkan meletakkan untuk nasib kamu di atas
kehendak Allah S.W.T.. Senario sebegini juga telah
digambarkan oleh Allah S.W.T. melalui firman-NYA:
"Atau berkata semasa dia melihat azab: “Kalaulah aku
dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari
orang-orang yang mengerjakan kebaikan!” (Kata-kata
yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firman-Nya):
"Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjuk-Ku
(melalui Rasul-Ku), maka engkau telah mendustakannya
serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan
engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang
kufur ingkar!" Dan pada hari kiamat, engkau akan
melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan
yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam
legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka
Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang
yang sombong takbur? – al-Zumar (39) : 58-60
Namun begitu berita baik bagi mereka yang sedang
menatap risalah ini; KAMU MASIH HIDUP…. Pintu taubat
sedang dibuka seluas-luasnya untuk kamu. Ini bermakna
kita semua berpeluang untuk mengelak penyesalan yang
begitu mengerikan seperti yang tergambar di dalam
kedua-dua ayat al-Qur’an di atas. TAHNIAH… oleh itu
ayuh kita bertaubat atas segala kesalahan kita yang
lalu. Namun begitu apa makna taubat dan adakah taubat
bagi mereka yang telah terlalu jauh tererangkap di
alam maksiat dan kesesatan itu masih diterima oleh
Allah S.W.T.? Insya-Allah melalui risalah yan ringkas
ini penulis akan cuba untuk menjawab persoalan
tersebut.
APA ITU TAUBAT?
===============
Taubat dari segi bahasa ertinya kembali. Menurut
istilah maksudnya kembali kepada jalan yang benar dari
jalan yang sesat. Ianya bukan sekadar permohonan maaf
tetapi ianya disertai penyesalan terhadap sesuatu
kesalahan lalu berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Taubat yang diterima oleh Allah S.W.T hanyalah taubat
seorang Muslim. Adapun taubat bagi orang kafir
hanyalah dengan baginya meninggalkan agama asalnya
lalu memeluk Islam. Firman Allah S.W.T.:
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang
yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah
seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia:
"Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang
taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga
halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap
kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan
bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. –
al-Nisaa’ (4) :18
Taubat itu memilki tiga komponen yang penting iaitu
ilmu, keadaan dan perbuatan.
Ilmu merupakan pengetahuan terhadap perkara-perkara
yang distilahkan sebagai maksiat serta menyedari akan
bahayanya kesesatan tersebut terhadap diri seseorang.
Keinginan untuk bertaubat hanya akan terdetik apabila
timbul kesedaran bahawa perilakuknya tersebut adalah
salah, boleh menghancurkan hidupnya, meragut
kebahagiaan di akhirat kelak, membunuh jiwanya serta
menjadi punca renggangnya hubungan di antara Allah
S.W.T. dengan hambanya sehingga menyebabkan seseorang
itu terhalang dari mencapai rahmat-Nya di dunia
mahupun di akhirat. Hal ini akan menjadi lebih mudah
sekiranya seseorang itu memiliki ilmu yang benar
bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah dan tentu
sekali golongan yang paling mudah bertaubat adalah
mereka yang berilmu terutamanya dari kalangan para
ulamak.
Setelah kita menyedari akan kesalahan yang kita
lakukan itu sebagai perbuatan yang menyanggahi
perintah Allah dan Rasul-Nya maka akan timbul keadaan
penyesalan di dalam jiwa seseorang sehingga timbul
keazaman untuk menjauhi dari perbuatan tersebut.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Penyesalan itu adalah taubat. - Hadis riwayat Imam
Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 4242.
Lantaran itu akan timbul komponen yang ketiga iaitu
perbuatan untuk meninggalkan perlakuan yang telah kita
bertaubat darinya serta keinginan yang mendalam untuk
tidak mengulanginya kembali pada masa yang akan
datang. Keinginan untuk bertaubat itu akan timbul
dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah
S.W.T. dan bukan kerana faktor-faktor selain untuk
mencapai keredhaan-Nya. Penyesalan yang terbit dalam
jiwa seseorang akan menimbulkan semangat untuk dia
mengerjakan amal-amal yang soleh demi untuk menebus
kesalahan-kesalahannya yang lampau. Firman Allah
S.W.T:
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain
bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang
diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan
yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula
berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan
mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya
azab seksa pada hari kiamat, dan dia pula akan kekal
di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan
amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan
menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan
kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. – al-Furqaan (25) : 68-70
Rasulullah s.a.w. pula bersabda:
Ikutilah keburukan itu dengan kebaikan maka kebaikan
akan menghilangkan keburukan tadi – Hadis riwayat Imam
al-Nawawi di dalam al-Adzkar, hadis no: 1084 dam Imam
al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 115.
Menurut Imam al-Nawawi r.h:
Taubat itu wajib dari tiap-tiap dosa. Sekiranya
maksiat (dosa) itu hanya di antara dia dengan ALLAH,
tiada berhubungan dengan hak manusia maka ada tiga
syarat taubat:
1)Harus menghentikan maksiat
2)Harus menyesal atas perbuatan yang telah terlanjur
dilakukannya
3)Niat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi
perbuatan itu kembali
Dan apabila dosa itu ada hubungan dengan hak manusia
maka taubatnya ditambah syarat yang ke empat iaitu:
4)Menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak
dengan minta maaf atau halalnya atau mengembalikan apa
yang harus dikembalikan
- Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi,
Terjamah Riadhus Shalihin, (Victory Agencie, 1995,
Kuala Lumpur), jilid 1, ms. 29
Ada di kalangan ulamak yang telah menggariskan
beberapa syarat lain untuk menjamin kesempurnaan
taubat seseorang. Di antaranya adalah seperti berikut:
1)Hendaklah dia meninggal dosa tersebut ikhlas
semata-mata kerana Allah.
2)Hendaklah dia merasa bahawa dosa-dosa tersebut
memberi kesan yang buruk serta merbahaya kepada
pelakunya.
3)Hendaklah seseorang itu bersegera untuk bertaubat
apabila menyedari kesalahan yang dilakukan kerana
menunda taubat juga merupakan satu bentuk dosa.
4)Hendaklah dia merasa khuatir bahawa taubatnya
tersebut memiliki kekurangan dan kemungkinan tidak
akan diterima oleh Allah S.W.T.. Sifat ini pasti akan
menyebabkan seseorang itu bersungguh-sungguh untuk
menyempurnakan taubatnya agar diterima oleh Allah
S.W.T.
5)Hendaklah dia menyempurnakan hak-hak Allah yang dia
tinggalkan pada masa lampau. Contohnya sekiranya dia
tidak menunaikan zakat maka hendaklah ditunaikannya
kerana ianya menjadi hak golongan fakir dan miskin.
6)Hendaklah dia meninggalkan serta menjauhi
tempat-tempat maksiat demi untuk mengelakkannya dari
mengulangi perbuatan maksiat tersebut.
7)Hendaklah dia menjauhkan diri daripada orang-orang
yang mendorongnya untuk melakukan maksiat.
8)Hendaklah dia memusnahkan segala barang-barang haram
miliknya yang boleh mendorongnya untuk melakukan
dosa-dosa.
9)Hendaklah dia memilih kawan-kawan yang boleh
mendorongnya mengerjakan amalan-amalan berbentuk
ketaatan kepada Allah S.W.T.. Hendaklah dia rajin
menghadiri kelas-kelas agama serta mendekatkan diri
dengan para ulamak.
10)Hendaklah dia membersihkan tubuhnya yang telah
tumbuh dari hasil pendapatan yang haram dengan
bersungguh-sungguh mengerjakan amal-amal yang soleh
11)Hendaklah taubat tersebut dilakukan sebelum ajal
hampir tiba dan sebelum matahari terbit di sebelah
barat. Ini adalah kerana pintu taubat akan ditutup
rapat di dalam dua keadaan yang disebutkan di atas.
Dalilnya adalah seperti berikut:
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari
barat, maka Allah menerima taubat dan memaafkannya. –
Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim,
hadis no: 2703
Nabi s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang
hamba-Nya selama ruh (nyawanya) belum sampai di
tenggorokan (hampir mati). Hadis riwayat Imam
al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 3460
- Diringkaskan dari kitab Uriidu An Atuuba Wa Lakin
karya Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajjid Edisi
terjemahan dengan tajuk Taubat, Jalan Pintas Menebus
Dosa, At-Tibyan, Solo 2005, ms. 22-31.
Taubat yang sempurna dikenali dengan nama Taubat
Nasuha. Firman Allah S.W.T:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu
kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan
Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan
menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman
bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh)
mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di
sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka
berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam
gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi
kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada
kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu". - Al-Tahriim (66) : 8
Maksud perkataan Nasuha dalam firman-Nya di atas
adalah suatu bentuk taubat dilakukan dengan penuh
keikhlasan dan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan
keredhaan ALLAH S.W.T dan jauh dari tujuan-tujuan yang
lain. Taubat jenis ini akan menyebab seseorang itu
dimasukkan ke syurga.
KEWAJIPAN BERTAUBAT
====================
Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan
kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan
kesilapan adalah mereka yang segera bertaubat serta
memohon keampunan Allah S.W.T.. Rasulullah s.a.w.
bersabda:
Setiap anak Adam (manusia) berbuat kesalahan dan
sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang
bertaubat. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi di dalam
Sunan al-Tirmidzi, Hadis no: 2423.
Perasaan untuk bersegera bertaubat timbul kerana wujud
keyakinan di dalam diri masing-masing bahawa dosa-dosa
yang telah dilakukannya itu adalah berbentuk
kedurhakaan kepada Allah S.W.T, ianya menjauhkan
dirinya daripada Allah dan ianya bakal mengundang azab
yang pedih Oleh itu Allah S.W.T amat menganjurkan
hamba-hmabanya untuk memohon keampunan dari-Nya serta
bertaubat. Firman-Nya:
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh
Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan
disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka
diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. – al-Nisaa’ (4) : 17
Hukum taubat adalah Fardu ‘Ain iaitu menjadi kewajipan
bagi setiap orang Islam. Dalilnya adalah firman Allah
S.W.T.:
…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. –
al-Nuur (24) : 31
Ayat di atas berbentuk kata kerja perintah (ism f’il
‘amar) dan ia meggambarkan Allah S.W.T. telah
mewajibkan setiap hamba-Nya untuk bertaubat kepada-Nya
sekiranya telah terlanjur melakukan kesalahan. Hal ini
juga telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada
umatnya malah baginda seorang yang bersih dari segala
bentuk dosa juga senantiasa memohon ampun dan
bertaubat kepada Allah S.W.T setiap hari.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Hai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah
dan Istighfarlah (mintalah ampun) kepada-Nya maka
sungguh saya bertaubat Istighfar setiap hari seratus
kali. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih
Muslim, hadis no: 2702.
Sabdanya lagi:
Demi Allah, sesungguhnya saya membaca Istighfar
(meminta ampun) kepada–Nya dan bertaubat kepada Allah
setiap hari lebih dari 70 kali. – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukari, hadis no: 6307.
Adakah kita merasakan diri kita lebih mulia dari
Rasulullah s.a.w. ataupun kita juga bebas dari
melakukan sebarang dosa sehingga memberatkan diri kita
untuk memohon ampun serta bertaubat kepada Allah
S.W.T.? Oleh itu hendaklah kita senantiasa memohon
ampun kepada Allah S.W.T. serta bersegera untuk
bertaubat kepada-Nya apabila kita terlanjur melakukan
maksiat.
Justeru itu ulamak Ahlus Sunnah wal Jamaah telah
bersepakat akan kewajipan untuk bertaubat. Ini
sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi:
(Para ulamak) umat Islam telah ijmak (bersepakat)
bahawa hukum bertaubat adalah fardu (wajib) atas
seluruh mukminin. – Imam al-Qurthubi, al-Jaami’ Li
Ahkam al-Qur’an, jilid 5, ms. 90.
Pendapat ini juga telah disokong oleh Imam Ibnu
Qudamah di dalam Minhaj al-Qashidin serta Imam
al-Nawawi di dalam Riadhus Shalihin.
KEUTAMAAN BERTAUBAT
====================
Amalan bertaubat ini memiliki banyak keutamaannya. Di
antaranya adalah seperti berikut.
1)Bertaubat dapat mensucikan seseorang dari
dosa-dosanya
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Seseorang yang bertaubat dari dosanya itu adalah sama
dengan orang yang tidak mempunyai dosa lagi. – Hadis
Riwayat Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis
no: 4240
Baginda juga menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan
solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat akan memudahkan
pengampunan Allah S.W.T terhadap dosa-dosanya.
Sabdanya:
Tiada seorang yang melakukan suatu dosa kemudian dia
pergi berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat,
kemudian memohon ampun kepada Allah melainkan Allah
akan mengampuninya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi
di dalam Sunan al-Tirmidzi,hadis no: 2932.
2)Bertaubat dapat mensucikan hati seseorang dari noda
yang mengotorinya. Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya seorang mukmin bila melakukan dosa, maka
akan timbul satu titik noda hitam di hatinya, Jika dia
bertaubat, meninggalkan perbuatan tersebut dan memohon
keampunan (kepada Allah), maka hatinya kembali bersih.
Tetapi bila menambah (perbuatan dosa), maka
bertambahlah noda hitam tersebut sampai memenuhi
hatinya. Maka itulah al-Raan (penutup hati) yang telah
disebutkan Allah dalam firman-Nya: Sebenarnya!
(Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata
hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan
sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka
kerjakan. (alMutaffifiin (83) : 14) – Hadis riwayat
Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 4234.
3)Allah mengasihi mereka yang bertaubat.
SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak
bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri. – al-Baqarah (2) : 222
4)Sikap bersegera untuk bertaubat merupakan ciri-ciri
mereka yang berjaya.
…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. –
al-Nuur (24) : 31
5)Mereka yang bertaubat akan diberi ganjaran syurga
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu
kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan
Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai… - Al-Tahriim (66) : 8
6)Bertaubat dapat mengelakkan seseorang dari menerima
balasan yang pedih daripada Allah S.W.T di dunia
mahupun di akhirat. Firman-Nya:
Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh
kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah
akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak
terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka
tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan
menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. –
al-Tawbah (9) : 74
Sebaliknya bagi mereka yang bertaubat Allah S.W.T
memberi nikmat kesenanngan hidup di dunia mahupun di
akhirat. Firman-Nya:
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu
(dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk
kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat
kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu
masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan
memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai
kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala
kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling
(membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya
aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang
besar (huru-haranya). – Hud (11) : 3
7)Mereka yang bertaubat bebas dari sifat gololongan
yang zalim kerana Allah S.W.T menyifatkan mereka yang
enggan bertaubat sebagi zalim. Firman Allah S.W.T.:
Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang
zalim. – al-Hujuraat (49) : 11
Demikianlah beberapa keutamaan bertaubat yang sempat
penulis perturunkan. Semoga ianya dapat menjadi sumber
motivasi kepada kita semua untuk bersegera melakukan
taubat di atas segala kesalahan yang telah kita
lakukan.
ADAKAH ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT HAMBANYA YANG BERGELUMANG DENGAN MAKSIAT?
================================================
Ramai di antara mereka yang telah melakukan pelbagai
jenis maksiat merasakan mereka sudah tiada harapan
lagi untuk bertaubat serta menerima kemaafan daripada
Allah S.W.T.. Sikap ini sebenarnya tidak tepat kerana
ianya menyalahi sifat Allah S.W.T. yang Maha Pengasih
serta Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya malah di
antara sifat-Nya yang mulia adalah menerima permohonan
taubat dari hamba-hamba-Nya. Ini sebagaimana
firman-Nya:
Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari
hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan
kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia
mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. –
al-Syuura (42) : 25
Tambahan lagi Allah S.W.T amat kasih kepada
hamba-hambanya yang bertaubat dan menyukai untuk
menerima taubat mereka bahkan memperkenankan taubat
hamba-hamba-Nya merupakan sesuatu yang benar-benar
mudah bagi-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang
hamba-Nya, melebihi dari kesenangan seorang yang
menemukan kembali dengan tiba-tiba untanya yang telah
hilang di tengah hutan. – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6309
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat
seseorang hamba-Nya, melebihi dari kesenangan orang
yang berkenderaan di hutan, kemudian hilang, sedang
kenderaan itu penuh membawa bekal makanan dan
minumannya, sehingga dia putus harapan untuk
mendapatkannya kembali, lalu dia duduk di bawah pohon
dengan kecewa dan putus asa; tiba-tiba ketika dia
bangun dari tidurnya, kenderaannya telah ada kembali
di depannya lengkap dengan bekalnya, maka segera dia
pegang kendalinya sambil berkata: Ya Allah, Engkau
hambaku, dan aku Tuhannya. Terlanjur (keliru) lidahnya
kerana sangat gembira. Terbaliknya lidahnya
sebagaimana di atas itu maka Allah lebih gembira
menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi kegembiraan
orang yang menemu kembali harapannya itu. – Hadis
riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no:
2747
Oleh itu dapat kita fahami bahawa walau bagaimana
besar sekalipun dosa yang dipikul oleh seseorang itu
maka Tangan Allah sentiasa terbuka untuk menerima
taubat hamba-hamba-Nya. Ini sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla melebarkan
Tangan-Nya untuk menerima taubat bagi seseorang yang
berbuat keburukan pada waktu malam hingga siang hari
dan untuk orang-orang yang berbuat keburukan di waktu
siang hingga malam hari. Hal ini berterusan sehingga
terbitnya matahari dari sebelah barat (yakni setelah
hampir waktu kiamat). – Hadis riwayat Imam Muslim di
dalam Shahih Muslim, hadis no: 2759
Allah S.W.T akan akan mengampunkan segala bentuk dosa
yang dilakukan oleh hamba-hambanya selagimana mereka
tidak melakukan perbuatan syirik. Berikut penulis
paparkan firman Allah S.W.T. di dalam dua buah hadis
qudsi untuk membuktikan kenyataan di atas:
Firman Allah Ta’ala: Barangsiapa yang mengetahui
bahawa Aku mempunyai kekuasaan untuk mengampuni
dosa-dosa, nescaya Aku telah mengampuni dosa-dosanya
dan Aku tidak peduli (terhadap dosanya yang bamyak),
selagi dia tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu
apapun. – Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di dalam
al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 6054
Wahai anak Adam, selagi engkau berdoa kepada-Ku dan
berharap kepada-Ku, nescaya Aku ampuni dosa-dosamu
yang telah lampau dan Aku tidak peduli. Wahai anak
Adam, andaikata dosamu mencapai petala langit kemudian
engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku ampuni dan
Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau
mendatangi-Ku dengan membawa sepenuh bumi kesalahan,
kemudian engkau mendatangi-Ku dalam keadaan tidak
menyekutukan-Ku dengan sesuatu apapun, nescaya Aku
akan mendatangimu dengan sepenuh bumi ampunan. – Hadis
riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi,
hadis no: 3463.
Berikut pula disertakan sebuah kisah di mana seorang
yang telah membunuh seratus manusia lalu dia ingin
melakukan taubat maka Allah S.W.T telah mempermudahkan
urusannya serta menerima taubatnya. Nabi s.a.w.
bersabda:
Dahulu pada umat-umat yang terdahulu, terjadi seorang
telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, kemudian
dia ingin bertaubat, maka dia mencari seorang alim,
dan ditunjukkan kepada seorang pendeta, maka dia
bertanya bahawa dia telah membunuh sembilan puluh
sembilan jiwa maka apakah ada jalan untuk bertaubat?
Jawab pendeta tersebut tidak ada. Maka segera dibunuh
pendeta tersebut sehingga genap seratus orang yang
telah dibunuhnya. Kemudian dia mencari orang alim yang
lainnya, dan ketika telah ditunjukkan maka dia
menerangkan bahawa dia telah membunuh seratus orang,
apakah ada jalan baginya untuk bertaubat? Jawab si
alim tersebut: Ya ada, dan siapakah yang dapat
menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah ke dusun itu
kerana di sana banyak orang-orang yang taat kepada
Allah, maka berbuatlah sebagaimana perbuatan mereka,
dan jangan kembali ke negerimu ini kerana ianya tempat
penjahat. Maka pergilah orang itu ke sana. Tatkala di
tengah perjalalanan dia mati secara mendadak. Maka
bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Siksa.
Berkata Malaikat Rahmat: Dia telah berjalan untuk
taubat kepada Allah dengan sepenuh hatinya. Berkata
Malaikat Siksa: Dia belum pernah berbuat kebaikan sama
sekali. Maka datanglah seorang malaikat yang
menyerupai manusia dan dijadikannya sebagai juri
(hakim) di antara mereka. Maka dia berkata: Ukurlah
sahaja di antara dua dusun yang ditinggalkan dan yang
ditujui, maka ke mana dia lebih dekat maksukkanlah dia
kepada golongan orang di sana. Maka diukurnya dan
didapati dia lebih dekat kepada dusun baik yang
ditujunya berukuran sejengkal, maka dipegang ruhnya
oleh Malaikat Rahmat. - Hadis riwayat Imam Muslim di
dalam Shahih Muslim, hadis no: 2766.
Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam riwayat lain Allah
memerintahkan kepada bumi yang dituju supaya mendekat
dan menyuruh bumi yang ditinggalkan supaya menjauh –
Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi,
Terjemahan Riadhus Shalihin (Victory Agencie, 1995
Kuala Lumpur), jilid 1, ms. 35.
Lihatlah bagaimana Allah S.W.T, membantu hamba-Nya
yang benar-benar ikhlas untuk bertaubat kepada-Nya
sedangkan hamba-Nya tersebut telah melakukan dosa yang
amat besar. Oleh itu bagi mereka yang sepanjang
hidupnya telah bergelumang dengan pelbagai jenis dosa
janganlah mereka putus harapan dan hendaklah segera
bertaubat. Firman Allah S.W.T.:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri
(dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah
jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan
kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat,
serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu
didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan
diberikan pertolongan. – al-Zumar (39) : 53-54
KESIMPULAN
==========
Generasi umat Islam pada zaman ini bukan sekadar tidak
melaksanakan segala suruhan Allah S.W.T serta
Rasul-Nya malah mereka juga meremeh-remehkan
perkara-pekara yang dilarang oleh Allah S.W.T dan
Rasul-Nya. Hal ini juga telah wujud pada zaman para
sahabat r.a masih hidup. Anas bin Malik r.a umpamanya
pernah mengkritik mereka yang hidup pada zamannya
dengan berkata:
Sesungguhnya kalian melakukan perbuatan dosa yang
menurut pandangan kalian lebih lembut dari sehelai
rambut, padahal pada zaman Nabi s.a.w. kami
memandangnya sebagai sesuatu yang membinasakan. –
Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih
al-Bukhari, hadis no: 6492.
Hal tersebut terjadi kepada umat Islam yang hidup pada
kurun-kurun yang terbaik yang mana para sahabat Nabi
masih hidup lagi. Sekiranya Anas bin Malik r.a hidup
pada zaman sekarang dan dapat melihat segala
kemungkaran yang dilakukan oleh umat Islam secara
berleluasa tanpa segan dan silu pasti beliau akan
lebih terperanjat dan sedih dengan keadaan ini.
Oleh itu disebabkan kita kini hidup di dalam suasana
yang mana maksiat dilakukan sewenang-wenangnya dan
pintu-pintu untuk melakukan maksiat terbuka dengan
luas maka kita sebenarnya terdedah kepada godaan untuk
melakukan perbuatan maksiat malah sering juga kita
tertewas ketika berhadaan dengan godaan-godaan
tersebut. Justeru itu hendaklah kita sentiasa
perbanyakkan permohonan keampunan serta bersegera
untuk bertaubat di atas segala kelalaian kita. Firman
Allah S.W.T
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan
keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera
ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka
- dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan
dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak
meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan
itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan
akibatnya). – ‘Aali Imraan (3) : 135
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Zikir Harian
HARI AHAD: Ya Hayyu Ya Qayyum ( 1000 X) [Ya Allah, Tuhan Maha Hidup Lagi Berdiri Dengan Sendiri]
HARI ISNIN: La haula wala quwwata illa billa hil 'aliyyil 'a ziim ( 1000 X ) [Tiada Daya & Kekuatan Melainkan Dengan Kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung]
HARI SELASA: Allahumma salli 'ala 'abdika warasulika wanabiyyikal amiina wa'ala alihi wasahbihi wasallim ( 1000 X ) [Ya Allah, Rahmatilah Ke atas Nabi Muhammad S.A.W & Keatas Keluarga Baginda]
HARI RABU: Astagh firullahal 'a ziim ( 1000 X ) [Aku Memohon Keampunan Kepada Allah Tuhan Maha Esa]
HARI KHAMIS: Subhanallahii 'a ziim , Subhanallahi wabihamdihi ( 1000 X ) [Maha Suci Allah Yang Maha Agung & Segala Puji UntukNya]
HARI JUMAAT: Ya Allah ( 1000 X )
HARI SABTU: La ilaha illallah ( 1000 X )[Tiada Tuhan yang Disembah melainkan Allah]
No comments:
Post a Comment